Peperangan & Penjajahan Hulu_Perak

Peperangan Perak-Reman

Hulu Perak pada asalnya adalah sebahagian daripada negeri Reman. Negeri Reman pula adalah sebahagian daripada wilayah negeri Pattani besar. Orang-orang Melayu Patani ialah orang pertama yang mendiami dan membuka hutan di Hulu Sungai Perak. Oleh itu Raja negeri Reman menganggap kawasan Hulu Sungai Perak adalah jajahan takluknya. Raja Reman telah pergi ke Kelian Intan dan mengusahakan lombong bijih timah di sana. Dalam tahun 1826, Sultan Perak telah membuat satu Perjanjian Persahabatan dengan Kompeni Inggeris di Pulau Pinang. Tidak beberapa lama selepas itu, Sultan Perak telah menghantar satu pasukan tentera yang kuat diketuai oleh Dato Seri Lela untuk menyerang orang-orang Melayu Reman. Oleh kerana serangan tentera Perak itu secara mengejut maka orang-orang Reman dapat dikalahkan. Bagaimanapun, beberapa tahun kemudiannya, Raja Reman telah dapat menawan semula Kelian Intan dan Kroh.

Suruhanjaya Campbell

Daerah Hulu Perak itu sangat luas, iaitu bermula dari Selatan Negeri Patani sampai ke Kuala Temong. Menjelang kurun kesembilan belas, sebahagian besar daripada Daerah Hulu Perak telah termasuk di bawah pemerintahan Negeri Reman.

Dalam tahun 1899, satu Suruhanjaya yang diketuai oleh Tuan Campbell telah dibentuk untuk menyiasat dan menyelesaikan pertikaian sempadan di antara Perak dan Reman. Hasilnya, sempadan kedua-dua negeri itu yang telah ditetapkan di Bukit Nasah dalam tahun 1882 dahulu, telah dipersetujui diganjak sedikit sampai ke Mukim Gerik dan Temenggor. Dari semenjak itu, pertikaian di perbatasan Perak - Reman itu pun reda sedikit terutama setelah Kerajaan Siam menghapuskan sistem pemerintahan beraja di Reman dalam tahun 1902.

Perjanjian Inggeris-Siam

Pada 9 Julai 1909 Kerajaan Siam telah membuat suatu perjanjian dengan Kerajaan Inggeris untuk menyerahkan Negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Sir John Anderson (Governor Negeri-negeri Selat) dan Setiausaha Luar Negeri Siam. Di antara lain-lain syarat dalam perjanjian itu Kerajaan Siam hendaklah juga menyerahkan balik Daerah Hulu Perak yang telah diambil oleh Raja Reman dahulu kepada Kerajaan Negeri Perak. Istiadat penyerahan itu telah dilangsungkan di Kroh, pada 16 Julai 1909.

Pegawai-pegawai yang mewakili Kerajaan Perak bagi menerima penyerahan itu adalah seperti berikut:-

  • Wan Muhammad Isa, Orang Kaya Menteri
  • Wan Muhammad Salleh, Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja.
  • E.W. Birch, Residen British Perak.
  • A.S. Jelf MCS, Penolong Setiausaha kepada Residen British Perak.
  • H. Berkeley, Hakim Daerah Hulu Perak
  • G. Simpson, Merinyu Polis Kuala Kangsar
  • J.D. Kemp, Pengurus Rahman Hydrolic Tin Limited, Klian Intan.

Kerajaan Siam diwakili oleh Keluong Wan Husain, pembesar Siam di Betong.

Perjanjian Perak-Kedah

Pada 4 Mac 1912 satu perjanjian telah dibuat di antara Kerajaan Perak dengan Kerajaan Kedah. Menurut perjanjian itu, Kerajaan Kedah bersetuju menyerahkan kawasan Belukar Semang dan Tasik kepada Perak. Sebagai balasannya, Kerajaan Perak pula bersetuju membiayai pembinaan jalan raya dari Baling ke Kuala Ketil sejauh 24 batu.

Kawasan yang diserahkan oleh Siam bersama-sama dengan kawasan Belukar Semang dan Tasik oleh Kedah itu dinamakan `Jajahan Baharu’ (The New Territory) dan telah disatukan dengan kawasan lain di Daerah Hulu Perak

Pentadbir Eropah yang pertama

Pegawai pentadbir bangsa Eropah yang pertama berkhidmat di Hulu Perak ialah Cerlo Ferdinando Bozzolo, berbangsa Itali. Sebelum bertugas di Hulu Perak, beliau pernah membuka lombong bijih timah di Negeri Patani, tetapi perusahaannya itu tidak maju lalu beliau berhijrah ke Perak.

Dalam tahun 1880, jawatan yang mula-mula disandangnya ialah Merinyu Jalan Raya. Pada 1 Januari 1881 beliau dilantik menjadi Penguasa Ladang Kerajaan. Oleh kerana beliau pandai bertutur bahasa Siam dan Patani, maka beliau telah dua kali diutuskan ke Negeri Reman bagi merundingkan pertikaian sempadan di antara Perak dengan Reman. Pada 1hb Januari 1888 Bozzolo telah dilantik menjadi Pemungut cukai dan Hakim Daerah Hulu Perak.